--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
KEMBALI KE HETAMILAS DOT COM

Sekiranya anda ingin kembali ke hetamilas dot com sila KLIK di atas. Terima kasih kerana kunjungan anda.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ahad, 20 September 2009

PAGI RAYA 2009
MUNGKIN kerana sudah biasa bangun sahur, maka saya pun terbangunlah pagi ini. Jam 4 pagi.  Saya lihat Azam dan Wawab tidur di ruang tamu.  Capid tidur di atas sofa.  Sementara Seed tidur berdekatan dengan buaian. Dalam buaian tu ada Imanlah. Dua kipas berpusing dengan laju. Seperti biasa, saya akan mengadap laptop. 

MEMBACA SMS YANG DIHANTAR OLEH KENALAN

SEPERTI biasa, saya menerima ucapan Selamat Hari Raya dari kenalan di seluruh Malaysia. Pagi ini saya lihat ada beberapa lagi SMS yang tersimpan di HP saya.  Nantilah siang sedikit....saya akan balas kesemuanya. Macam-macam ayat yang digunakan. Ada yang hanya 'sent' semula ayat orang lain.  Saya pun begitu juga.  Pernah suatu ketika, saya menerima SMS dari seorang kawan yang turut tercatat nama mengirim asalnya.

BERAYA BERSAMA CUCU

BUAT kali pertamanya saya akan beraya dengan Muhammad Iman, cucu sulung saya.  Tentu meriah ni.  Semalam emaknya dah tunjukkan kupiah yang dikait sendiri. Wah...Iman nanti kita bergambar banyak-banyak.


WAKTU BEGINI SEMASA SAYA KECIL
MENGIMBAU zaman kita kecil menyambut hari raya memang satu nostalgia.  Saya catatkan di sini untuk bacaan anak-anak agar mereka dapat bayangkan bagaimana orang-orang seperti bapanya menyambut hari raya dulu-dulu.

Masa zaman kanak-kanak dulu ibu bapa saya (malah satu keluarga) tidak tidur malam. TV belum ada.  Yang ada hanya radio kecil menggunakan bateri kering.  Kami sebut radio transistor. Siaran radio hanya sampai jam 12.00 tengah malam. Tetapi, bila hari raya (terutama malam raya pertama) siaran radio akan berlanjutan 24 jam.  Siaran selepas jam 12 baisanya 'permintaan menerusi telefon'. Pendengar boleh meminta lagu-lagu yang telah ditetapkan sambil mengucapkan selamat hari raya kepada sanak-saudara menerusi telefon.  Waktu itu kebanyakan orang menggunakan telefon awam.  Beruntunglah orang yang berdekatan dengan telefon awam.

Kami tidak tidur, kerana aktiviti merebus ketupat.  Merebus ketupat memakan masa yang lama, apa lagi dengan menggunakan  kayu api. Jumlah ketupat pula banyak untuk dimakan sehingga berhari-hari. Aktiviti membuat kuih juga diteruskan disamping memasak lauk-pauk. Ada juga yang menyereka (gosok) baju. Steraka ketika itu menggunakan kayu arang untuk memanaskannya.

Saya dan adik pula bermain di halaman rumah dengan anak-anak jiran yang kebetulan sepupu.  Halaman rumah memang terang dengan api pelita.  Kadang-kala kami main mercun dan meriam buluh (masa itu belum diharamkan lagi).  Setiap kali hari raya bapa saya akan membeli mercun 'papan' bertepek-tepek.

Jam 5.00 pagi saya dan adik sudah mandi.  Mandi di perigi di belakang rumah. Air perigi kalau waktu begini tidak sejuk sangat.

PERSIAPAN RAYA TAHUN INI
PERSIAPAN hari raya tahun ini sederhana sahaja.  Rumah tidak dicat baru.  Saya dah tak larat sebenarnya.  Nak harapkan Arif yang ada di rumah......kesihan pulak. Langsir pun tidak berganti sebab langsir tahun lalu masih cantik dan baik. Kuih-muih..biasalah, kebanyakannya diimport.  Tahun ini kami terima kuih dari beberapa sumber: Dari besan, dari anak-anak dan ada juga dari kawan-kawan. Pendeknya penuh jugalah meja nanti.  Oh iya.....kek lapis Sarawak pun ada. Saya beli semasa ke sana minggu lepas.

Selain dari itu semua anak lelaki saya termasuk saya tidak berganti baju Melayu (kurung).  Baju yang lama masih baik.  Lagipun penggunaan baju kurung di kalangan lelaki jarang-jarang.  Anuar pula membeli songkok. Pelik juga saya, selama ini dia lebih selesa dengan kupiah Raihannya.  Begitu juga dengan Azam. Seingat saya songkok yang terakhir dibeli ialah semasa majlis perkahwinannya.   Kali ini dia beli sebab syarikat tempat kerjanya akan membuat majlis sambutan hari raya yang menghendaki semuanya memakai lengkap baju Melayu.  Baguslah tu.  Si Wawab pulak, tempah songkok dengan ustaznya sejak belum puasa lagi.  Sampai sekarang tak siap lagi.  Arif lain sikit, dia tak suka membeli kalau tidak 'terpaksa'.  Apa lagi sekarang dia belum terima gaji lagi. Capid guna songkok yang biasa diguna semasa sekolah.  Okeylah tu.

Tahun ini anak-anak saya (Azam dan Ude) belikan saya sepasang baju.  Emak dan adik-adiknya pun dibelikannya juga.  Tahun hadapan tentu akan bertambah satu lagi, sebab Arif dah dapat gaji......hohoho!

0 comments:

Catat Ulasan